top of page
Gambar penuliskamu belumtau

Artis dangdut lain buat hal, kami yang kena tempias – Ani Maiyuni


kamubelumtau.com - “Memang ada segelintir artis dangdut yang sengaja cipta kandungan sehingga mengundang kecaman. Selepas itu bila dimaki, terus rasa diri seorang mangsa.”


Demikian luahan penyanyi dangdut, Ani Maiyuni yang turut mengakui dirinya juga terkena tempias apabila ada rakan penyanyi dangdut dengan sengaja mencetuskan kontroversi.


Jelas Ani atau nama sebenarnya, Aishah An Nur Osman, dia tidak akan sengaja mencipta sesuatu yang bakal memalit lumpur pada nama baiknya apatah lagi penyanyi dangdut sering kali menerima persepsi negatif.



“Zaman sekarang, zaman kandungan media sosial. Sebab itu saya tak nafikan, memang ada rakan artis dangdut yang mengundang kontroversi dengan sengaja. Mengundang makian, hinaan dan kecaman.


“Disebabkan sikap mereka, saya sendiri turut terkena tempias. Terutama bila ada yang minat saya beri pandangan terhadap isu berbangkit. Kontroversi yang sengaja dicipta.


“Mungkin mereka perlukan kontroversi seperti itu. Mereka mahukan pengikut yang ramai dan perhatian. Maaf, saya tidak buat begitu kerana ini periuk nasi saya. Saya jugal bakat,” katanya.

Ani ditemui pada majlis sidang media Konsert Goyang Asia Koplo Milenia di sini semalam.


Dalam pada itu, tambah Ani lagi, dia pernah melalui fasa populariti namun tetap menjaga imej sehingga tidak dibenarkan mempunyai teman lelaki dan mencipta isu sensasi yang boleh menjatuhkan namanya.


“Zaman saya dulu, kalau nak jadi artis, kena ada imej dan sifat yang baik. Sebab kita menjadi ikutan peminat. Dulu nak ada kekasih pun tak boleh. Pergerakan dikawal supaya tidak salah langkah.


“Nasihat saya kepada artis sekarang, jagalah imej dengan baik. Jadilah idola dan contoh yang boleh membawa kebaikan kepada anak muda. Jangan terlalu kejar publisiti sehingga sanggup cemar nama sendiri,” ujarnya.

Bercakap tentang Konsert Goyang Asia Koplo Milenia yang bakal berlangsung 12 Ogos depan, Ani berkata, dia bakal mendendangkan tiga buah lagu termasuk single baharunya.


“Saya harap konsert anjuran Mission Sight Sdn Bhd itu akan mendapat sambutan dan menjadi permulaan yang baik buat pejuang irama dangdut. Konsert ini juga menggabungkan penyanyi dangdut dua negara, Malaysia dan Indonesia.


“Saya akan pikul tanggungjawab itu sebaiknya. Saya sedar, saya bawa nama Malaysia. Saya mahu kembangkan juga irama dangdut kita ke Indonesia,” ujarnya.


Selain Ani, konsert tersebut turut menampilkan Baby Shima serta barisan penyanyi dangdut popular Indonesia iaitu Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesti Klepek Klepek dan Rhena Morena.


Posted by : kamubelumtau


Comentarios


Top Stories

bottom of page